Eropah Penyelesaian masalah

Di Eropah, dua pendekatan utama telah muncul, dengan masing-masingnya dimulakan oleh Donald Broadbent (1977; sila lihat Berry & Broadbent, 1995) di United Kingdom, dan Dietrich Dörner (1975, 1985; sila lihat Dörner & Wearing, 1995) di negara Jerman. Kedua-dua pendekatan itu adalah sama dari segi penekanan terhadap tugas-tugas makmal pengkomputeran yang amat rumit dan yang kaya dengan semantik untuk mencipta masalah-masalah yang menyerupai masalah-masalah hidup nyata. Bagaimanapun, kedua-dua pendekatan ini agak berbeza dari segi sasaran teori dan perkaedahannya.

Tradisi yang dimulakan oleh Broadbent menekankan perbezaan antara proses-proses penyelesaian masalah kognitif yang beroperasi dalam keadaan kesedaran dengan proses-proses di luar kesedaran, dan biasanya menggunakan sistem-sistem pengkomputeran yang ditakrifkan dengan jelas secara matematik. Sebaliknya, tradisi yang dimulakan oleh Dörner menumpukan perhatiannya kepada komponen-komponen kognitif, dorongan, dan sosial yang saling mempengaruhi satu sama lain dalam penyelesaian masalahnya. Ia mempergunakan senario-senario pengkomputeran yang amat rumit dan yang mengandungi sehingga 2,000 pembolehubah yang amat berkait (umpamanya, Projek Lohhausen 1983 oleh Dörner, Kreuzig, dan Reither & Stäudel; Ringelband, Misiak & Kluwe, 1990). Buchner (1995) menghuraikan kedua-dua tradisi ini dengan terperinci.

Sebagai kesimpulan, kesedaran para penyelidik bahawa:

  • proses-proses penyelesaian masalah amat berbeza antara domain-domain pengetahuan dan peringkat-peringkat kemahiran (umpamanya, Sternberg, 1995); dan
  • dapatan-dapatan yang diperoleh daripada makmal tidak semestinya dapat dibuat lebih umum untuk merangkumi masalah-masalah di luar makmal telah menyebabkan penekanan terhadap penyelesaian masalah dunia nyata pada sepanjang dua dekad yang lalu. Bagaimanapun, penekanan itu telah dinyatakan dengan cara yang berbeza di Amerika Utara dan Eropah. Sedangkan penyelidikan di Amerika Utara umumnya menekankan kajian penyelesaian masalahnya dalam domain-domain pengetahuan semula jadi yang berasingan, kebanyakan penyelidikan Eropah menumpukan perhatian kepada masalah-masalah yang baru dan rumit, dan melaksanakannya melalui senario-senario pengkomputeran (sila lihat Funke, 1991, untuk gambaran keseluruhan).